selamat datang Pictures, Images and Photos

Tuesday, August 31, 2010

Pengenalan motivasi

Paradigma berasal daripada perkataan Greek iaitu 'paradeigma' yang membawa maksud model, bentuk atau contoh. Maksud paradigma boleh diperjelaskan dengan kaedah kita melihat sesuatu situasi atau keadaan berasaskan kepada andaian umum dan bagaimana kita boleh berjaya dalam lingkungan atau batasan yang ditetapkan.Anjakan paradigma menjurus kepada perpindahan dari satu situasi kepada situasi baru yang lebih baik. Menyingkap etimologi motivasi, Motivasi diserap maknanya daripada perkataan Inggeris iaitu 'motivation' atau kata akarnya 'motive' yang membawa makna tujuan atau matlamat . Oleh itu, tidak dapat disangkal bahawa tujuan atau motif dapat memotivasikan kita.

Pengenalpastian terhadap indidvidu yang bermotivasi dapat dilihat melalui aspek sama ada mereka menyukai status quo atau tidak memandangkan individu yang bermotivasi tidak menggemari keadaan yang statik kerana mereka lebih dinamik dan sentiasa bergerak mengikut keadaan dan keperluan semasa bagi mencapai matlamat yang telah dirancang. Oleh itu, segalanya bermula daripada diri anda sendiri untuk mengambil langkah pertama untuk melakukan anjakan paradigma peribadi.

Nuraishah Binti Ramly
204805

Jenis-jenis motivasi untuk melakukan anjakan paradigma peribadi



Terdapat dua jenis motivasi untuk melakukan anjakan paradigma peribadi pada kelakuan seseorang itu sama ada secara positif atau secara negatif yang merupakan motivasi ekstrinsik. Motivasi ekstrinsik dilakukan dengan menggerakkan seseorang melakukan aktiviti yang akan membawa faedah kepadanya. Antara bentuk peneguhan positif adalah dalam bentuk ganjaran seperti pujian, insentif dan hadiah dan ia memberikan kesan kepada tingkah laku seseorang supaya mereka lebih berusaha untuk mendapatkan ganjaran tersebut.
Sebaliknya,peneguhan negatif dilakukan dengan cara ugutan,hukuman atau deraan yang bertujuan untuk memberi motivasi dan mengawal kelakuan individu. Peneguhan negatof tersebut memberikan keesan yang baik dan buruk kerana ia mengikut kesesuaian seseorang individu dan persekitaran yang dilaluinya,maka, peneguhan negatif adakalanya tidak digalakkan untuk dilakukan.
Terdapat juga motivasi intrinsik iaitu diwujudkan secara semula jadi yang terdiri daripada dorongan dan minat individu tersebut untuk melakukan aktiviti tanpa mengharapkan ganjaran .
Khairul Sakinah Binti Isa
204991

Kepentingan motivasi 1

Motivasi sangat penting dalam proses anjakan paradigma peribadi kerana ia mengajar anda supaya tidak mudah mengenal erti kalah walaupun mengalami kegagalan berulang-ulang kali kerana ia menjadikan anda sebagai individu yang lebih kuat untuk menghadapi pelbagai kemungkinan mendatang dalam usaha menjadikan setiap matlamat satu realiti. Selain itu, pembinaan motivasi tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang remeh kerana motivasi merupakan enjin utama yang akan menggerakkan seluruh usaha serta memusatkan fokus anda bagi merealisasikan matlamat sekaligus beroleh kejayaan yang cemerlang.Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya tokoh-tokoh yang berjaya sering dikaitkan sebagai individu yang bermotivasi tinggi.

Sarah Aida Binti Mohammed
205033

Kepentingan motivasi 2

Antara kepentingan motivasi ialah ia digunakan sebagai darjah kesungguhan. Jika apa yang diharapkan itu amat penting, ia akan mempunyai kesungguhan untuk berusaha sehingga matlamatnya tercapai. Selain itu, motivasi sebagai pendorong. Dengan matlamat yang lebih oenting, lebih kuatlah pula dorongan seseorang itu untuk berusaha mencapai matlamatnya.Motivasi juga dapat mewujudkan penumpuan dan perhatian yang sepenuhnya terhadap apa yang dilakuakn dan bukannya perlakuan kerana terpaksa. Individu yang bermotivasi akan melakukan sesuatu dengan bersemangat tanpa perlu disuruh-suruh.Di samping itu, motivasi sangat perlu kerana ia mampu mewujudkan nilai persaingan yang sihat dna positif dalam kalangan individu. Seterusnya, motivasi sebagai stimulator atau semangat akibat rangsangan atau keghairahan terhadap sesuatu yang benar-benar diingini.Apabila kita benar-benar inginkan sesuatu, ketakutan dan kemalasan menjadi perkara kedua.Mencapai matlamat akan menjadi perkara pertama. Keberanian, kerajinan dan ketekunan akan timbul.

Aishah Binti Ahmad
204797

Ciri-ciri orang yang tidak bermotivasi

Orang yang tidak bermotivasi mempunyai sifat terlalu berserah pada nasib dan tidak mahu berusaha mengubah dirinya. Di samping itu, mereka sentiasa menyalahkan nasib dan takdir jika berlaku dan menghadapi sebarang masalah. Namun, mereka tidak pernah mahu menyalahkan diri sendiri dan mencari punca kesilapan tersebut.

Selain itu, orang sebegini mempunyai sifat malas yang menjaid musuh utama kejayaan dan sentiasa menangguhkan masa untuk menyiapkan sesuatu tugasan pada masa-masa akhir.

Mereka juga tidak sanggup mengorbankan masa, tenaga, fikiran dan wang ringgit bagi menyelesaikan sesuatu masalah dan tugasan.

Lim Ing Keat
207084

Kesan motivasi terhadap individu


"Mereka yang berusaha untuk menjadi jaguh selalunya akan kelihatan lebih bagus daripada mereka yang langsung tiada matlamat untuk menjadi jaguh."


Dr H.M. Tuah Iskandar


(Buku Jom Jaguh,halaman 7)




Kata-kata di atas membawa maksud bahawa orang yang cemerlang senang dikenalpasti tetapi orang sebegini perlu didahului oleh ilmu dan akhirnya dipandukan oleh fikiran kita.


Anjakan paradigma amat penting dalam pembentukan sahsiah peribadi yang terpuji, pemikiran kritis dan dapat mengubah sikap yang pasif ke aktif selaras dengan matlamat yang ingin dicapai.Sesetengah orang tidak mempunyai kekuatan atau tidak mampu untuk melonjakkan diri mereka ke tahap yang benar-benar menguji kemampuan mereka. Hal ini disebabkan oleh sikap mereka yang terlalu merendah diri apabila berhadapan dengan orang yang lebih hebat daripada mereka. Antara contoh yang paling ketara ialah pasukan bola sepak kebangsaan kita. Sikap merendah diri menyebabkan mereka tidak mampu bersaing dengan pasukan yang lebih hebat daripada mereka sedangkan pasukan yang lain masih mampu memberikan tentangan.



Selain itu, jika anda perhatikan seseorang yang sedang bercakap di khalayak ramai mempunyai banyak pergerakan, ini menunjukkan individu tersebut sedang berdebar dan tidak yakin terhadap dirinya sendiri atau lebih jelas individu tersebut belum mengalami proses anjakan paradigma peribadi. Sebagai contoh, anda melakukan pergerakan yang tiada kena mengena dengan isi ucapan anda seperti memegang syiling di dalam kocek seluar dan membetulkan mikrofon walaupun sudah elok kedudukannya.Oleh itu, anjakan paradigma peribadi sangat penting untuk mengukuhkan sikap mempercayai diri dan dapat memantapkan pemikiran ke arah pembentukan modal insan kelas pertama.



Nurul Hazwani Binti Zainal Abidin


204666


Halangan-halangan untuk bermotivasi

Generasi sekarang didapati lebih bersuka ria berbanding generasi dahulu yang lebih berusaha untuk mencapai sesuatu matlamat. Pengaruh budaya hedonisme yang menekankan keseronokan sahaja telah menyebabkan usaha untuk mewujudkan anjakan paradigma terbantut. Mereka yang melakukan prinsip hedonisme ini biasanya tidak mempunyai pegangan agama.Oleh itu, mereka kurang peka akan kesan atau akibat yang akan berlaku disebabkan perbuatan mereka sendiri. Hal ini menyebabkan mereka tidak mempunyai hala tuju yang tepat. Mereka juga tidak menyedari apa yang diperlukan diri sendiri. Maka, motivasi mereka akan berkurangan untuk mencapai sesuatu matlamat. Halangan yang lain ialah kurangnya dorongan daripada ibu bapa yang terlalu sibuk mengejar kekayaan sehingga mengabaikan anak-anak. Tiadanya perhatian ibu bapa akan menyebabkan anak-anak ini merasakan tiada gunanya mereka bermotivasi untuk mencapai kejayaan kerana mereka berasa tidak dipedulikan walaupun kejayaan itu dapat dicapai.

Lim Thiam Huat
207102

Tokoh-tokoh yang boleh dicontohi

Terdapat banyak tokoh yang boleh dijadikan pendorong.Mereka telah berjaya memotivasikan diri dengan berkesan.


Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan Menteri Besar Kelantan yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia.Beliau turut diletakkan dalam senarai 50 orang tokoh Islam paling berpengaruh di dunia.Beliau memotivasikan diri menggunakan pendekatan keagamaan dan kerohanian.Beliau merasakan jawatan yang dijawat beliau merupakan satu amanah dan harus dijalankan dengan sebaik-baiknya.Beliau percaya bahawa agama mampu menjadikan kita lebih baik.Oleh itu, beliau menerapkan nilai keagamaan dalam kehidupan hariannya.



Y.B Datuk Seri Ng Yen Yen merupakan salah seorang tokoh wanita yang berjaya di Malaysia. Beliau merupakan Menteri Pelancongan Malaysia dan merupakan wanita berbangsa Cina yang pertama dilantik menjadi menteri.Beliau menemui kesukaran dalam hidup dan terpaksa menawarkan kelas tuisyen untuk menampung perbelanjaan pembelajarannya di Victoria Institution.Beliau menekankan konsep 'self-positioning' ketika memotivasika diri yang merujuk kepada kesedaran kedudukan diri sendiri semasa menghadapai sesuatu masalah.

Tan Sri Ananda Krishnan merupakan usahawan kedua terkaya di Malaysia.Beliau merupakan anak pendatang Tamil dan Sri Lanka.Beliau sentiasa berfikiran positif dan sentiasa bijak mencari peluang untuk membina kehidupan yang lebih baik.Beliau juga menekankan sikap bergembira dan mencintai pekerjaan dan sentiasa inginkan kejayaan walaupun tekah berusia 62 tahun.Beliau juga suka menerima cabaran sama ada cabaran dari aspek pekerjaan atau kehidupan.
Goay Boon Huang
204724










Kaedah untuk melonjakkan anjakan paradigma peribadi

1. Menganggap kegagalan sebagai maklum balas bagi mengubah strategi dan tindakan yang dilakukan.

--> Menjadikan kegagalan sebagai penanda aras bahawa strategi dan tindakan yang dilakukan sebelum ini tidak sesuai digunakan.Berdasarkan kegagalan yang dialami, kita harus terus menumoukan kepada strategi baru yang lebih efektif serta lebih praktikal untuk mencapai matlamat.

2. Menjadikan setiap 'matlamat' yang harus dicapai dalam tempoh tertentu.

--> Apabila sesuatu perkara perlu dilakukan, kita akan menumpukan sepenuh tenaga dan usaha untuk mencapai matlamat tersebut.Ramai individu berjaya kerana mereka tidak meletakkan sebarang pilihan pada matlamat mereka.

3. Kepercayaan kepada diri sendiri.

--> Kepercayaan diri mampu membuatkan seseorang meraih kejayaan yang luar biasa. Ia bertindak sebagai sistem operasi otak yang berupaya menentukan hala tuju tindakan anda.

Kepercayaan diri turut menjadi pendorong untuk anda bertindak dan penentu kepada sejauh mana penggalian terhadap bakat dalam diri anda dapat dilakukan kerana apabila anda mempercayai anda mampu melakukan sesuatu, anda sebenarnya memberikan ruang kepada diri sendiri untuk berusaha mencapai matlamat.Anda juga akan dapat menggunakan sumber yang anda miliki secara maksima serta mendorong anda memberikan hasil yang jauh lebih baik daripada yang dapat dibayangkan.


Nuryati Idzfa Binti Zakaria
205045

Monday, August 30, 2010

Tirai penutup motivasi


Tirai Penutup Motivasi


Secara konklusinya, anjakan paradigma peribadi membawa kepada makna yang lebih luas sekiranya dikaji secara lebih mendalam. Namun begitu, orang yang bermotivasi akan sentiasa menempuhi cabaran dengan lebih efektif dan mempunyai kepercayaan yang teguh terhadap diri sendiri. Tokoh-tokoh terkemuka ini merupakan antara individu yang sanggup menghadapi cabaran demi cabaran yang menjadi penghalang untuk mencapai matlamat yang diingini. Anjakan paradigma peribadi merupakan perkara yang harus dirungkai dan dijalani secara teliti agar dapat mencapai matlamat dan kejayaan yang diingini. Oleh itu, anjakan paradigma peribadi merupakan sesuatu yang anjal bagi diri kita tetapi tidak bagi orang yang berjaya. Seandainya anda berjaya melakukan anjakan paradigma peribadi dalam diri anda. Maka, kejayaan pasti akan menjadi milik anda!!



SHIVENDHARAN A/L VASUDEVAN
207046